KUANTAN, 14 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus melaksanakan latihan bagi mempertingkatkan kompetensi warganya dengan memberi fokus kepada keperluan operasi berdasarkan senario keselamatan semasa.
TUDM menerusi hantaran di media sosialnya menjelaskan, melalui Eksesais PARADISE 9/22 yang berlangsung dengan Eksesais ELANGAROO 22, peserta telah menjalani latihan khusus bagi menangani ancaman melibatkan kimia, biologi, radiasi, nuklear dan bahan letupan atau Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives (CBRNE).
Menurut TUDM, latihan ini adalah bagi meningkatkan lagi kompetensi warga TUDM khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berikutan corak ancaman yang berubah-ubah serta tidak lagi menjurus kepada peperangan konvensional semata-mata.
“Latihan CBRNE kali ini melibatkan anggota dari Bomba TUDM, Pasukan perubatan dari Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU), 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD) dan Pegawai Keselamatan Pangkalan (BSO),
“Turut terlibat ialah helikopter TUDM EC 725 dari No 10 Skuadron yang sentiasa bersiap sedia diaturgerakkan dalam menghadapi ancaman CBRNE,” jelas hantaran itu.
Jelas TUDM, eksesais kali ini menjadi platform kepada persediaan TUDM dalam memberi pendedahan, ilmu pengetahuan, latihan khusus dan penggunaan peralatan berteknologi tinggi dalam menghadapi situasi tersebut,
“Ia juga dapat memberi pengalaman selain menguji dan meningkatkan kompetensi warganya di dalam menangani ancaman-ancaman yang menggunakan bahan kimia sebagai senjata,” jelas TUDM.