Home Politik PRU15: 224,828 pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini

PRU15: 224,828 pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Seramai 224,828 orang yang didaftarkan sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah menunaikan kewajiban bermula pada pukul 8 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, 117,473 orang adalah anggota tentera dan pasangan, manakala 107,355 lagi adalah polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.

Sebanyak 578 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara antaranya melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera, dengan sejumlah 970 saluran.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan semalam memaklumkan, Pusat Mengundi Awal yang ditetapkan akan dibuka mulai jam 8 pagi sehingga 5 petang.

“Namun terdapat beberapa Pusat mengundi Awal yang akan ditutup lebih awal,” jelasnya.

Untuk itu, beliau menasihatkan pengundi agar membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“SPR turut menyarankan pengundi awal yang positif COVID-19 untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal masing-masing,

“Proses pengundian awal turut disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding, selain disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal terpilih,

“Kertas undi awal tidak akan dikira hari ini dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat,

“Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada hari pengundian 19 November, bermula pukul 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon,” katanya.

PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15).

PRK DUN Bugaya pula diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 November lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 November ini.

Sementara itu, SPR melalui hantaran di media sosialnya memaklumkan, sebanyak 52 peratus pengundi telah keluar mengundi sehingga jam 11.00 pagi tadi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!