Home Semasa LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi 6 pagi esok

LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi 6 pagi esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Stesen Ampang Park hingga Stesen Kelana Jaya, akan beroperasi sepenuhnya kepada pengguna mulai 6 pagi esok (Isnin).

Secara keseluruhan, perkhidmatan laluan dari arah Stesen LRT Gombak ke Stesen Putra Height akan beroperasi bermula jam 6 pagi esok, 2 hari lebih awal dari dijadualkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, berdasarkan tinjauannya selepas menyertai sesi ujian keberkesanan sistem dan keselamatan operasi LRT, sistem kritikal keselamatan adalah stabil tanpa gangguan.

Menurutnya, beliau juga diberi taklimat oleh pihak pengurusan dan pakar teknikal Rapid Rail mengenai ujian yang dilakukan sejak malam tadi hingga pagi hari ini.

Tambahnya, sebanyak 38 tren menjalani ujian itu dari Stesen Gombak ke Stesen Putra Height, bagi memastikan ia benar-benar selamat dan sedia digunakan sepenuhnya.

“Sesi ujian malam tadi turut disertai oleh Bahagian Penguatkuasaan Rel (RED) dan Bahagian Perancangan Rel (REL), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Tinjauan menunjukkan sistem-sistem kritikal keselamatan adalah stabil tanpa gangguan,

“Saya berpuas hati dengan analisa ke atas ujian meluas yang dijalankan. APAD juga mengesahkan kestabilan sistem kawalan tren automatik (ATC) dan mengisytiharkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya selamat untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook rasminya pada Ahad.

Bagaimanapun, Wee berkata, pemantauan oleh pakar teknikal Rapid Rail dan juga pihak pengilang asal (OEM) akan diteruskan bagi memastikan kelancaran sistem yang berterusan.

“Saya berharap pembukaan ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang untuk ulang alik ke tempat kerja dan untuk menjalankan aktiviti harian,

“Saya juga sudah meminta Prasarana untuk terus menyediakan bas-bas perantara di stesen-stesen ‘hot spot’ sebagai langkah persediaan,

“Seperti yang saya sudah sebutkan pada sidang media pada 11 November lalu, saya meminta pengurusan Prasarana untuk mempercepatkan proses penggantian sistem ATC yang baharu supaya masalah seperti ini tidak berulang,” katanya.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) sebelum ini melaporkan berkata, sebanyak 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama 7 hari bermula 9 hingga 15 November susulan gangguan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC).

Stesen yang terbabit dalam penggantungan operasi itu adalah stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!