PHNOM PENH, 10 Nov – Ukraine telah menandatangani surat cara penerimaan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara, hari ini.
Surat cara penerimaan telah ditandatangani oleh Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba.
Beliau tiba di Phnom Penh pada petang Selasa lalu dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen pada keesokan hari.
“Pertemuan kami adalah memberi fokus kepada hubungan bilateral dan keselamatan makanan sejagat,” kata Dmytro di akaun media sosial rasminya.
Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara atau dikenali Treaty of Amity and Cooperation in South-east Asia (TAC) mula diperkenalkan pada tahun 1976. Perjanjian ini merangkumi prinsip universal kewujudan bersama secara aman dan kerjasama di kalangan negara-negara ASEAN.
Perjanjian ini telah ditandatangani 50 buah negara termasuk Ukraine, China, India, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia. – airtimes.my