KUALA LUMPUR, 10 Nov – Selepas Selangor dan Negeri Sembilan, kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini turut mengisytiharkan cuti khas pada 18 November iaitu sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia bertujuan memberikan kemudahan kepada rakyat Pulau Pinang untuk membuat persiapan mengundi dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Bersempena PRU-15 yang akan diadakan pada 19 November ini kerajaan negeri bersetuju untuk mengisytiharkan cuti khas negeri pada 18 November iaitu pada hari Jumaat,
“Cuti Khas Negeri ini adalah untuk memberikan kemudahan dan juga sebagai galakan kepada rakyat Pulau Pinang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” jelasnya dalam kenyataan ringkas pada Khamis.
Terdahulu, Selangor dan Negeri Sembilan mengumumkan 18 November sebagai cuti umum bagi memudahkan rakyat di negeri berkenaan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 15 November dan hari mengundi 19 November ini. -airtimes.my