KUALA LUMPUR, 10 Nov – Gerakan Tanah Air (GTA) berikrar agar segala kebebasan rakyat yang diperuntukan di dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya.
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan akan dipertahankan.
Selain itu, rakyat dari setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan tidak ada keadilan terpilih atau kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan tanpa gari manakala rakyat biasa tergari.
“Inilah janji kami dan janji ini mampu dan pasti kami penuhi jika diberi peluang mendirikan Kerajaan,
“Undilah Gerakan Tanah Air yang mengguna logo Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG),” katanya semasa melancarkan manifesto GTA yang disiarkan secara langsung di laman Facebook PEJUANG, malam tadi.
Bekas Perdana Menteri itu turut menggariskan 7 agenda pembaharuan dalam tawarannya yang mampu membentuk kerajaan berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang serta membawa Malaysia kembali menjadi Harimau Asia.
Dalam dokumen yang dinamakan Agenda Baharu Malaysia itu, GTA menegaskan bahawa perikatan politik itu bukan untuk menentang bukan Melayu tetapi menentukan hak yang adil dan saksama bagi semua kaum.
7 agenda membangunkan Malaysia baharu yang terdapat dalam tawaran itu adalah bangsa wibawa, bangsa makmur, bangsa berdaulat, bangsa bertamadun, negara moden, negara sejahtera dan negara lestari.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak menjanjikan bulan dan bintang sekiranya dipilih menerajui kerajaan.
“Kami akan memastikan perkara-perkara berikut iaitu penubuhan sebuah Kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab, penubuhan sebuah kerajaan yang bebas dari rasuah dan kerajaan yang berpegang kepada prinsip bersih, cekap dan amanah sebagai teras kepada ke semua lapisan pentadbiran,
“Selain itu, GTA turut memberikan komitmen untuk menjadi kerajaan yang akan menebus ekonomi Malaysia dengan kembali menjadi Harimau Asia selain menjadi kerajaan yang berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang,” ujarnya.
Menurut Tun Mahathir, kerajaan GTA yang berpegang kepada 5 prinsip itu akan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Selain itu, rakyat dari setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan tidak ada keadilan terpilih atau kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan tanpa gari manakala rakyat biasa tergari,” jelasnya. -airtimes.my