KUALA LUMPUR, 10 Nov – Pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 bakal dikreditkan ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula 15 hingga 18 November ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran yang bernilai RM2.1 bilion ini akan memanfaatkan seramai 5.2 juta penerima yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah dan warga emas bujang atau tiada pasangan.
Beliau berkata, pembayaran itu pada asalnya dijadualkan dibuat pada Disember, namun dipercepatkan kepada minggu hadapan bagi membantu penerimanya membuat persediaan menghadapi monsun timur laut (MTL), yang dijadualkan bermula pada pertengahan bulan ini.
“Secara keseluruhannya, RM8 bilion telah diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022,
“Bagi BKM Fasa 4, setiap penerima akan menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing, dan pembayaran ini adalah bayaran akhir baki nilai yang sepatutnya diterima pada tahun ini,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata mereka yang layak menerima bantuan tersebut boleh menyemak status pembayaran bermula 15 Nov ini, selain boleh merujuk portal rasmi BKM di https://bkm.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut pembayaran.
BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang telah diumumkan dalam Bajet 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula pasca pandemik COVID-19 dan meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia. -airtimes.my