KUANTAN, 10 Nov – Menteri Kanan Pertahananm, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa kenyataan yang tular di media sosial kononnya Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Zamrose Mohd Zain membenarkan beliau berkempen di mana-mana kem tentera darat adalah fitnah.
Malah, Hishammuddin yang juga bendahari Barisan Nasional (BN) berkata, beliau juga tidak pernah masuk ke kem tentera darat sejak hari pertama bermulanya kempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Saya sebelum ini turun ke kawasan saya sendiri di Sembrong dan kawasan lain di Johor. Kini saya berada di Pahang, jadi memang tidak ada masuk kem,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Program Jelajah Undi BN Pahang hari ini.
Turut hadir calon BN bagi Parlimen Kuantan Ab Hamid Mohd Nazahar dan 3 calon BN bertanding kerusi DUN di bawah Kuantan iaitu Shafik Fauzan Sharif (Inderapura), Nara @ Nikman Nordin (Tanjung Lumpur) dan Tee Choon Ser (Teruntum).
Selain Kuantan, Hishammuddin dalam prorgam itu turut melawat calon BN di Raub, Kuala Krau dan Indera Mahkota.
Semalam, Tentera Darat Malaysia (TDM) turut menafikan kenyataan tular itu dan menjelaskan kenyataan PTD memperingatkan anggota tentera untuk tidak terbabit secara langsung kempen PRU15 pada satu majlis baru-baru ini, dimanipulasi pihak berkepentingan.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata hasrat Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk menjadi Perdana Menteri satu hari nanti semasa berkempen di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini tidak perlu disensasikan kerana jawatan itu hanya boleh diputuskan oleh parti.
“Cerita sebegini selalunya timbul pada musim pilihan raya kerana orang hendak mencari isu sensasi dan hal itulah sering ditanyakan,
“Kepimpinan negara ditentukan oleh parti. Pemilihan dan kedudukan presiden serta jawatan tertinggi dalam parti pula ditentukan oleh ahli kita, jadi tiada apa hendak digembar-gemburkan,” katanya. – Bernama