JEPUN, 9 Nov – KD KELANTAN telah mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam International Fleet Review 2022 (IFR2022) yang telah berlangsung dari 2 November sehingga semalam.
Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, KD Kelantan yang dipimpin Komander Mohd Azrul Hakimi Azmi TLDM ini merupakan antara 38 buah kapal yang telah mengambil bahagian dalam peragaan kapal angkatan laut di Teluk Sagami, Selatan Tokyo.
Selain Malaysia, IFR 2022 ini turut disertai oleh 13 buah negara yang lain seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Menurut MPA Timur, KD Kelantan bersama 110 orang kru telah memulakan pelayaran meninggalkan Tambatan Pangkalan Kota Kinabalu pada 21 Oktober dan selamat tiba di Yokohama, Jepun pada 30 Oktober bagi menyertai program fasa pelabuhan sebelum IFR 2022 yang dirancang pada 6 November.
“Sepanjang fasa pelabuhan, pelbagai program antara warga Navy People bersama masyarakat setempat, anggota angkatan laut yang lain telah dilaksanakan,
“Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob turut hadir ke Tokyo, Jepun dan mengikuti dalam pelayaran pemeriksaan peragaan kapal di atas JS IZUMO,” jelas hantaran itu.
Selain peragaan kapal, KD Kelantan turut berpeluang menyertai siri Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) bersama angkatan laut Jepun.
“Latihan SAREX ini telah membuka ruang kepada warga KD Kelantan untuk mempertingkat kemahiran serta kecekapan dalam siri interoperabiliti bersama angkatan luar,
“Penyertaan TLDM dalam siri IFR 2022 ini telah membuktikan TLDM sentiasa mendukung kepada program pengukuhan diplomasi pertahanan dua hala antara dua negara, Malaysia dan Jepun,
“Selain jaminan terhadap pengukuhan bilateral, manfaatnya turut dirasakan bagi warga The Navy People sendiri dengan memberi peluang interaksi dan komunikasi yang sedikit sebanyak dapat mempertingkat profesionalisma warga,” ujar MPA Timur. -airtimes.my