TAWAU, 6 Nov – Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menerusi tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (Tim QRF) berjaya mengagalkan cubaan sendikit penyeludup membawa masuk 1,280 karton rokok secara tidak sah di Lorong Kampung Titingan, awal pagi semalam.
Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad (KATB 2) berkata, menerusi rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) Bersama yang dilakukan berjaya mengesan sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser ditinggalkan tanpa tuan sekitar jam 3.15 pagi.
Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di ATB 2 dan POWB telah menghubungi IPD Tawau untuk diatur gerak ke lokasi kejadian bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan tersebut mendapati terdapat muatan berisi bungkusan kotak disyaki barangan seludup,
“Hasil pemeriksaan ke atas kotak di dalam kenderaan menemukan rokok yang dipercayai diseludup dari Indonesia untuk pasaran tempatan,
“Nilai rampasan bagi 1,280 karton rokok seludup jenama Nice adalah dianggarkan bernilai RM152,320.00 (harga minimum sekotak rokok bercukai) dan sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser RM40,000.00 (mengikut harga pasaran semasa),” katanya.
Dalam pada itu, kenderaan beserta barang rampasan dibawa oleh pihak polis dengan diiringi Tim QRF ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
“Laporan dan penyerahan barangan rampasan telah dibuat oleh Tim QRF di IPD Tawau bagi kesalahan Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT),” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas kejayaan ini kepada anggota dari POWB ATB 2, Tim QRF dan pihak polis IPD Tawau yang sentiasa peka dalam keadaan siap siaga melaksanakan tugas Op Pasir dan Op Benteng Bersama. – airtimes.my