KUALA LUMPUR, 5 Nov – Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi calon kepada parti lawan semasa penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini, dipecat serta merta.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dipecat ahli-ahli yang menjadi pencadang dan penyokong kepada calon parti lawan.
“Keahlian mereka di dalam UMNO dengan ini tergugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO,
“Ingin ditegaskan, berdasarkan Fasal 20.11 ini, UMNO akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat mana-mana ahli yang terlibat dengan aktiviti menyokong calon parti lawan, sepanjang tempoh kempen PRU15 dan tindakan memecat keahlian mereka akan diambil serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Maslan menegaskan, UMNO tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan khianat oleh mana-mana ahlinya.
Menurut beliau, UMNO telah meneliti senarai calon-calon yang telah mengemukakan pencalonan dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyertai PRU15.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, terdapat ahli-ahli UMNO yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemecatan mereka itu adalah perkara biasa berdasarkan peraturan dalam UMNO dan BN.
“Kepada mereka yang digugurkan (pencalonan) dan memilih untuk bertanding atas parti lain, mengikut perlembagaan parti, kita ada hak untuk memecat mereka secara automatik,
“Keadaan ini juga sama terhadap pencadang dan penyokong (pencalonan) individu itu. Perkara ini adalah biasa kerana kita perlu mematuhi etika dan peraturan parti,” jelasnya.
Mereka yang akan dipecat adalah Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang masing-masing bertanding di Parlimen Arau serta Maran atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Seorang lagi ialah Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang bertanding bebas di Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi. -airtimes.my