Home Pertahanan dan Keselamatan Pernama laksana penurunan harga jualan di seluruh negara – Hishammuddin

Pernama laksana penurunan harga jualan di seluruh negara – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) akan melaksanakan inisiatif penurunan harga produk jualan di semua 93 kedainya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta merta mulai semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelaksanaan inisiatif itu adalah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan seharian warga pertahanan.

“Menerusi inisiatif ini, penurunan harga yang ditawarkan adalah sehingga 48 peratus bagi makanan dan barangan keperluan asas seharian,

“Manakala sehingga 90 peratus bagi keperluan persekolahan anak-anak warga pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, antara produk makanan dan barang keperluan asas di kedai Pernama selepas diturunkan harga ialah susu formula bayi RM21.49, tuala wanita (RM3.09), sardin (RM6.99), tepung (RM2.49) dan beras 10 kilogram (RM25).

Tambahnya, produk makanan dan barang keperluan asas yang disenaraikannya itu hanya sebahagian daripada kira-kira 200 produk jualan di kedai Pernama yang diturunkan harga.

“Dengan ini, warga pertahanan boleh menikmati penjimatan lebih besar terutama apabila mereka membuat pembelian dalam satu troli,” ujarnya.

Hishammuddin memaklumkan, Pernama turut akan melaksanakan penurunan harga bagi pakaian seragam sekolah.

“Dengan penurunan harga ini, warga pertahanan boleh membeli pakaian seragam sekolah untuk anak masing-masing pada harga hanya RM5 bagi seluar dan RM5 bagi baju,

“Bagaimanapun, inisiatif penurunan harga di kedai Pernama yang akan dilaksanakan sebagai Jualan Akhir Tahun ini berkuat kuasa serta merta bermula hari ini sehingga 31 Disember 2022,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin juga mengingatkan Pernama supaya memastikan barang-barang yang diturunkan harga mempunyai stok mencukupi supaya penjimatan ini benar-benar dapat dinikmati manfaatnya oleh warga pertahanan.

“Sehubungan itu, kepimpinan MINDEF akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Terdahulu, Hishammuddin telah melaksanakan lawatan Kem Rascom Sibu dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu dalam memberi tumpuan terhadap agenda kebajikan warga pertahanan khususnya aspek kos sara hidup. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!