[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=4J-0twctPv4[/embedyt]
PUTRAJAYA, 2 Nov – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan manusia yang melibatkan pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi bermula jam 7.45 malam dilaksanakan oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai imigresen KLIA 2.
“Seramai 6 orang lelaki warganegara India dan seorang pegawai imigresen berumur 31 tahun telah ditahan,
“Warganegara India berkenaan berusia antara 20 hingga 42 tahun cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, modus operandi sindiket membawa masuk warganegara asing secara tidak sah ini menawarkan e-visa palsu kepada warga asing untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong.
“Sindiket akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong tulen,
“Pegawai imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas passport tanpa merekodkan perjalanan warga asing tersebut ke dalam sistem MyIMMs,” ujarnya.
Menurut Khairul Dazimee, berdasarkan maklumat risikan, sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap pelawat dan disyaki telah beroperasi sejak pembukaan sempadan pada 1 April lalu.
“Semua warga asing berkenaan ditahan serta disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah,
“Sementara pegawai imigresen berkenaan pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, setelah perintah reman diperolehi,” jelasnya. – airtimes.my