Home PolitikBarisan Nasional PRU15: Annuar lapang dada tidak tercalon, serah kepada rakyat tentukan perjalanan politik

PRU15: Annuar lapang dada tidak tercalon, serah kepada rakyat tentukan perjalanan politik

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menerima dan berlapang dada setelah nama beliau tidak tercalon mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau dalam hantaran di media sosialnya mendakwa tidak pernah dirujuk atau diajak berunding untuk penamaan calon seperti mana tertulis didalam perlembagaan parti.

“Apa pun, kita terima seadanya dan berlapang dada. Kita tutup dulu satu episod dan kita pandang kehadapan serta menghitung langkah seterusnya,” katanya.

Menurut Annuar, pada PRU14 lalu, lebih 25,000 telah mengundinya, sedangkan ahli UMNO Ketereh cuma 14,000.

“Bererti lebih dari 11,000 undi datangnya dari kalangan bukan ahli UMNO. Kesemuanya amat saya hargai,

“Ia memenuhi aspirasi saya yang mahu melihat ahli UMNO dan bukan ahli UMNO terutama kalangan ahli PAS supaya kekal bersatu padu dan menjunjung semangat Muafakat Nasional yang kita bersama perjuangkan,” ujarnya.

Tegas Annuar, setelah namanya tidak tercalon, beliau akan mendengar pandangan akar umbi terlebih dahulu sebelum menentukan perjalanan karier politiknya.

“Untuk perjalanan seterusnya elok saya tinjau pendirian jentera akar umbi saya, serta sentimen rakyat yang mengangkat saya,

“Elok saya serahkan diri kepada rakyat dan biar rakyat tentukan perjalanan seterusnya,

“Pastinya jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut, tikaman tidak bertepis, fitnah tidak berjawab dan hutang tidak berbayar,” jelasnya.

Katanya, setelah diserahkan kepada rakyat yang menentukan perjalananya, kemudian bolehlah nanti bertindak dengan jiwa tenang dan dada yang lapang.

“Kepada kawan kawan yang bertubi tubi dan ramai sekali memberi kata semangat didalam perjuangan, saya ucapkan ribuan terima kasih serta mohon bertenang,” katanya lagi.

Pada Selasa, nama Annuar digugurkan daripada senarai calon BN yang diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid mengumumkan kerusi Parlimen Ketereh akan diisi oleh Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh, Marzuani Ardila. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!