Home PolitikBarisan Nasional Jangan sabotaj, khianat BN jika tak terpilih jadi calon – Zahid Hamidi

Jangan sabotaj, khianat BN jika tak terpilih jadi calon – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, keputusan Barisan Nasioanal (BN) meletakkan ramai muka baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah sebagai sebahagian daripada peremajaan parti dan memastikan penglibatan anak muda diberikan tempat serta tidak meminggirkan undi muda bawah 40 tahun.

Menurutnya, semua pihak perlu menerima hakikat undi bawah 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus pengundi di negara ini yang bakal mengundi kali ini.

“Maka kita perlu pastikan sayap Puteri dan Pemuda BN berada dalam landasan yang betul di barisan hadapan, di Barisan Nasional. Sebab itulah, misalnya Ketua Puteri UMNO Malaysia, Ketua Puteri Negeri, Pemuda UMNO mengambil tempat dan kedudukan,

“Kita perlu berubah. Dalam politik ‘no one person is indispensable, but all people are important’. Yang sudah lama berpolitik memberi laluan menjadi suri teladan BN,

“Manakala yang muda mulai mengambil tempat dan kedudukan bagi memperbaharui kesinambungan kepimpinan masa depan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Dalam hantaran yang sama, beliau turut memberi amaran kepada bekas wakil rakyatnya yang tidak tercalon supaya tidak membuat perkara boleh memburukkan reputasi parti itu.

Jelasnya, tindakan sabotaj, protes, dan cuba menutup bilik gerakan hanya akan menunjukkan warna sebenar sikap mereka terhadap parti dan rakyat perlu menilai peribadi politik sedemikian.

Semalam, Zahid Hamidi telah mengumumkan senarai calon BN untuk Semenanjung yang menyaksikan sejumlah besar muka baharu termasuk penguguran beberapa Ahli Parlimen yang lama berkhidmat dan memegang jawatan menteri.

“Ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan. Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung,

“Jika ini berlaku bermakna tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan lama kerana atas tiket parti UMNO dan BN,” ujarnya.

Antara yang digugurkan dari menjadi calon BN pada PRU-15 adalah menteri dan timbalan menteri seperti Annuar Musa, Shahidan Kassim, Dr Adham Baba dan Halimah Sadique.

Terdahulu, media melaporkan, Shahidan akan tetap bertanding di kawasannya, namun belum memutuskan parti mana akan ditandinginya tetapi akan memilih parti yang menyokong Muafakat Nasioanal (MN).

Shahidan turut dilaporkan telah menutup bilik gerakan Parlimen Arau pada Isnin selepas tidak terpilih sebagai calon. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!