KUALA LUMPUR, 2 Nov – Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan namanya daripada calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mengesahkan akan tetap bertanding di Arau menentang Barisan Nasional (BN) walaupun menggunakan tiket parti lain.
Bagaimanapun, penyandang kerusi Parlimen Arau itu masih belum memutuskan parti mana yang akan ditandinginya pada pilihan raya kali ini.
Beliau membuat keputusan itu selepas kecewa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mencalonkannya semula di kerusi parlimen tersebut.
“Saya calon boleh menang, saya akan bertanding. Saya tanya cawangan-cawangan dulu saya akan bertanding atas tiket apa,
“Saya akan memilih parti yang menggerak ke arah Muafakat Nasional. Setakat ini, belum ada perbincangan lagi, tapi mereka sudah maklum tentang apa yang berlaku terhadap saya,
“Apa yang pasti, Insya-Allah, ‘comfirm’ saya akan bertanding,” katanya malam tadi.
Semalam, Zahid Hamidi mengumumkan 160 calon yang akan bertanding kerusi Parlimen di Semenanjung, manakala calon bagi 25 kerusi Parlimen di Sabah akan diumumkan hari ini.
Shahidan, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman antara yang digugurkan daripada mewakili BN pada PRU-15.
Zahid Hamidi ketika mengumumkan calon BN bagi PRU15 malam tadi menamakan Rozabil Abdul Rahman sebagai pengganti Shahidan di Arau.
Sementara itu, Shahidan menyifatkan Presiden UMNO itu gagal melunaskan pertimbangannya terhadap senarai 5 calon yang diserahkan oleh UMNO Bahagian Arau bagi menghadapi PRU kali ini.
Kata Shahidan, UMNO Perlis telah mengemukakan 5 calon untuk kerusi Arau tetapi tiada seorang pun yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.
“Pada pandangan saya presiden UMNO dah mungkir janji dan ‘pecah amanah’. Sebab presiden diberi amanah dia bertanggungjawab beri keadilan, tetapi nampaknya dia tidak mengikutnya,
“Saya secara peribadi tiada masalah sekiranya tidak dipilih bertanding, namun calon pengganti mestilah seorang yang boleh membawa kemenangan kepada parti,
“Saya di Arau tidak ada masalah, ambil calon boleh menang. Bukan calon ‘mesin padi’ atau calon yang tak pernah balik, tak pernah menjejak kaki ke bahagian dan sekarang telah dicalonkan,” katanya.
Susulan itu juga, Shahidan menggesa Ahmad Zahid supaya melepaskan jawatannya dan digantikan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menerajui parti utama orang Melayu itu selepas ini.
“Pandangan saya senang, BN akan kembali pulih kalau Zahid berhenti dan tak bertanding (dalam PRU-15).
“Malah, saya lebih memilih calon pengganti yang ada memegang jawatan dalam peringkat Bahagian Arau, ini langsung tiada jawatan dalam bahagian,” ujarnya. -airtimes.my