Home PolitikPakatan Harapan Perangi rasuah antara 10 keutamaan tawaran PH jika menang PRU-15

Perangi rasuah antara 10 keutamaan tawaran PH jika menang PRU-15

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Pakatan Harapan (PH) memberi 10 tawaran utama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memulihkan Malaysia dan membina ekonomi masa depan.

Tawaran dikenali sebagai Tawaran Harapan itu dilancarkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antara lain berkaitan usaha menangani pelbagai keperluan semasa rakyat yang mendesak berkaitan aspek kos sara hidup dan harga barang, peluang pekerjaan, ekonomi, pendidikan serta kesihatan.

“PH bertekad membina semula Malaysia daripada kemusnahan Barisan-Perikatan Nasional selama lebih 30 bulan lalu yang dibelenggu kepincangan dasar dan ketirisan pentadbiran,

“Selain itu mereka juga ketandusan idea untuk menangani masalah jangka panjang seperti kesenjangan masyarakat, perubahan iklim dan pemulihan generasi tercicir dalam pendidikan,” katanya ketika melancarkan 10 tawaran itu di sebuah hotel di Klang, pada Rabu.

Jelasnya, tawaran itu juga bermatlamat menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh melalui pertumbuhan ekonomi, memulihkan keyakinan umum menerusi pentadbiran beramanah serta menyediakan negara untuk mendepani pelbagai cabaran masa depan.

“Berbekalkan iltizam kukuh barisan kepimpinan HARAPAN dan mandat jelas melalui kehadiran penuh rakyat di peti undi pada 19 November, kita boleh membangunkan Malaysia yang lebih mampan, sejahtera, berdaya cipta, berteraskan nilai hormat dan ihsan (berteraskan kerangka dasar MADANI atau SCRIPT),

“Dasar-dasar yang digariskan Tawaran HARAPAN ini boleh melonjakkan Malaysia jauh ke depan,” ujarnya.

Antara 10 keutamaan Tawaran Harapan adalah menangani isu kos sara hidup; memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi; memperkasa peluang ekonomi belia dengan menerokai sektor manusiawi; menyelamatkan generasi tercicir (Lost Generation) dalam pendidikan dan membina ketahanan bencana serta memantapkan perlindungan

Selain itu, tawaran tersebut juga membabitkan usaha menangani isi doktor kontrak dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan; penghapusan isu ketaksamaan gender dan memperkasakan sosioekonomi wanita; memperkasa wilayah Sabah dan Sarawak; meningkatkan daya saing setiap rakyat Malaysia dan memelihara khazanah alam demi generasi akan datang. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!