Home PolitikBarisan Nasional Pilihan banyak, PAS dan BERSATU pun parti kerajaan – Annuar Musa

Pilihan banyak, PAS dan BERSATU pun parti kerajaan – Annuar Musa

by Nurulhuda

KOTA BHARU, 1 Nov – Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan pendiriannya kekal tidak melobi atau merayu sekiranya tidak dicalonkan di kawasannya pada Pilian Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO turut menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukan sama ada beliau akan dicalonkan atau tidak.

Jelasnya, parti memiliki sistem tersendiri dalam memilih calon, justeru semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada parti khususnya pucuk pimpinan untuk menentukan serta memilih siapa yang parti fikir patut menerima watikah dan mewakili parti.

“Terserlah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan memilih siapa yang parti fikir menerima watikah mewakili parti untuk bertanding,

“Soal calon macam saya kata bukan benda yang harus kita minta-minta, lobi-lobi. Kalau kita difikirkan oleh pucuk pimpinan atas apa juga asas pertimbangan maka itu kita hanya alat untuk parti memberi watikah dengan logo parti kita masuk,

“Kalau parti tidak pilih itu bukanlah pengakhiran segalanya. Tetapi itu juga tidak menyekat kita nak bertanding kita boleh juga bertanding, beli borang, bayar deposit… semua orang boleh bertanding,

“Pendirian saya, saya tidak akan melobi, tidak akan meminta-minta, tidak akan merayu…kita serah bulat-bulat pada parti. Dan saya difahamkan malam ini ada surat jemputan majlis pengumuman jadi saya fikir ahli-ahli parti terima sajalah apa yang parti putuskan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar turut mengesahkan tawaran sebagai calon kerusi Parlimen Ketereh telah diberikan kepada Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh Marzuani Ardila Ariffin.

Bagaimanapun, beliau hanya memikirkan tindakan lanjut selepas disahkan tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) di Parlimen Ketereh.

Sementara itu, apabila ditanya sama ada beliau mempunyai rancangan lain sekiranya tidak dicalonkan semula mempertahankan kerusi Parlimen tersebut, Annuar yang juga Ketua Umno Bahagian Ketereh berkata perkara tersebut akan difikirkan kemudian.

“Katalah saya tidak dipilih menjadi calon, saya tidak boleh mengamuk dan marah. Namun perjalanan politik saya masa itu saya akan duduk serta fikirkan kalau buat sekian-sekian apa jadi. Saya akan fikir dengan jiwa yang tenang tanpa terburu-buru,

“Pilihan itu banyak. Sekarang kalau tidak duduk dalam parti kerajaan pun, di luar pun ada parti lain juga parti kerajaan. Ini kerana senario politik nasional sudah berubah,

“PAS pun parti kerajaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pun parti kerajaan. Semua di bawah kepemimpinan Perdana Menteri yang sama. Tepuk dada tanya selera,” jelasnya.

Sebelum ini, desas desus mendakwa Menteri Wilayah yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Adham Baba dan Annuar sebagai antara nama yang tidak dicalonkan semula oleh UMNO dalam PRU-15.

Sebelum ini, Shahidan menerusi hantaran di laman Facebook berkata, bilik gerakan BN bagi Parlimen Arau telah ditutup sejak malam tadi dan bendera parti turut diturunkan.

Penutupan bilik gerakan dan penurunan bendera BN juga mungkin disebabkan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO, BN di Arau tidak berpuas hati dengan proses pemilihan calon untuk PRU akan datang.

Manakala, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pemilihan calon BN untuk bertanding pada PRU-15, didakwa tidak mengikut kaedah ditetapkan Perlembagaan parti.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, dakwaan yang berlegar membabitkan spekulasi calon BN biarpun parti lawan sudah mengumumkan senarai calon mereka yang dikatakan sarat dengan personaliti ‘big and heavyweight’.

“Bakal calon (BN) sudah dibawa menandatangani dokumen dan aku janji tertentu sejak 2 hari lalu, …justeru, ‘rumours’ (khabar angin) mula tersebar,

“Walaupun Perlembagaan menghuraikan dengan jelas skop dan kaedah pemilihan calon, nampaknya sekali lagi ia tidak diendahkan,”ujarnya menerusi hantaran di media sosialnya malam tadi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!