SABAH, 30 Okt – Jabatan Imigresen Malayisa (JIM) negeri Sabah telah menghantar pulang seramai 94 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga negara Vietnam dan Indonesia dengan menggunakan pengangkutan laut serta udara.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff memaklumkan, program pemindahan PATI telah dilaksanakan pada 27 Oktober lalu dengan menghantar 17 PATI warga Vietnam termasuk seorang kanak-kanak yang dipindahkan dari Depot Imigresen Sandakan.
Manakala, pada 28 Oktober pula, seramai 77 PATI warga Indonesia termasuk 6 orang kanak-kanak telah dihantar balik dengan menggunakan pengangkutan laut dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia.
“Semua PATI dihantar balik secara terus ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka Indonesia dengan menggunakan Malindo Express 2,
“Kesemua mereka adalah terdiri daripada tahanan dari Depot Imigresen Tawau,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jelasnya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Sh Sitti Saleha turut menegaskan, kesemua warga asing diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja dibenarkan (untuk bekerja di Sabah atau Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Semua agensi penguatkuasa di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” ujarnya. -airtimes.my