Home Politik PRU15: Tun M sanggup lupakan ‘pengkhianatan’ Muhyiddin, sedia kerjasama

PRU15: Tun M sanggup lupakan ‘pengkhianatan’ Muhyiddin, sedia kerjasama

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup melupakan ‘pengkhianatan’ Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan partinya dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, gabungan tersebut adalah untuk memastikan UMNO kalah dalam PRU15 akan datang dan perkara tersebut akan berlaku sekiranya parti pembangkang menjalinkan kerjasama.

Beliau memilih mengusulkan perkara itu kepada Muhyiddin, namun telah ditolak oleh Pengerusi PN tersebut.

“Kita dengar rakyat meminta supaya parti-parti lawan ini patut bergabung barulah kita boleh kalahkan UMNO. Itu kehendak rakyat dan kita pun fikir tak apalah. Kalau pun dia (Muhyiddin) tikam belakang kita, kerana bangsa kita, negara kita, agama kita, kita sanggup rendahkan diri nak bekerjasama dengan Muhyiddin,

“Kita sanggup (bergabung) walaupun dia ‘khianat’ saya. Tak apalah saya boleh lupakan perkara itu. Tetapi bila kita cuba nak kerjasama dengan Muhyiddin dalam partinya yang dikenali sebagai PN,

“Dia (Muhyiddin) jawab apa? Dia tak nak kerjasama dengan sesiapa sahaja. Uii, bukan main sombong,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Umum GTA Kedah, malam tadi.

Berucap lanjut kata Dr. Mahathir, pihaknya beranggapan agak sukar untuk PN meraih kemenangan mudah ketika gabungan itu mensasarkan untuk bertanding di semua Parlimen di seluruh negara.

“Kononnya dia boleh menang. Dia nak letak 222 calon di semua kawasan supaya dia boleh menang dan dia akan jadi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia kali kedua,

“Mana boleh letak calon sampai 222 kerusi. Takkan boleh menang 111 (Parlimen). Susah bagi dia. Dia bukan ini seorang jaguh yang berkhidmat bertahun-tahun dan menyumbangkan kepada kebangkitan, kemajuan negara,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Dr. Mahathir memberitahu, GTA dalam proses berunding dengan PN termasuk berkaitan kerusi yang bakal ditandingi bagi memastikan tiada pertindihan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!