SUBANG, 27 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab melaksanakan tugas sebagai pasukan pengaman di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, penglibatan ini merupakan satu detik yang amat bermakna dan membanggakan buat kerajaan Malaysia.
“Ia menandakan bahawa ATM yang telah terlibat dalam misi UNIFIL ini selama 16 tahun sekali lagi akan terlibat secara konsisten serta berterusan,
“Penglibatan yang berterusan ini bukan sahaja membuktikan ATM sentiasa bersedia dan siap siaga untuk mengaturgerak pasukan kita dalam memenuhi keperluan penugasan di luar tanah air,
“Malah ia mencerminkan pengikhtirafan dunia terhadap keupayaan serta kepakaran ATM dalam melaksanakan misi-misi pengaman,” jelasnya di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, hari ini.
Beliau berkata, pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT 850-10) kali ini menampilkan seramai 854 orang termasuk 84 pegawai dan 774 anggota serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan yang diketuai oleh Kolonel Mohd Rizman Ramli selaku Komander.
“Daripada jumlah berkenaan, 11 pegawai dan 74 anggota merupakan anggota wanita yang akan berkhidmat berterusan selama setahun di Lubnan, sama seperti anggota wanita MALBATT 850-9,
“Menyerlahkan lagi semanagat kebersamaan ASEAN dan hubungan erat Malaysia-Brunei Darussalam, MALBATT 850-10 turut disertai 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang mana buat pertama kali dalam sejarah penglibatan ABDB, 2 daripadanya ialah anggota wanita,
“Bagi pihak Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan -Brunei Darussalam kerana sentiasa bersama dengan Malaysia dalam menjayakan misi UNIFIL,” ujarnya.
Terdahulu, Hishammuddin menghadiri Majlis Pemakaian Beret, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran kumpulan pertama Pasukan pengaman MALBATT 850-10 Pasukan Interim UNIFIL.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affandi Buang TUDM, Pesuruh Jaya Tinggi Kedutaan Brunei Darussalam, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan ABDB.
Majlis penghantaran pasukan MALBATT 850-10 ini juga turut dihadiri oleh ahli keluarga anggota selepas 2 tahun tidak dapat dilaksanakan ekoran pandemik COVID-19.
MALBATT 850-10 akan diaturgerakkan dalam 4 peringkat bermula dengan penghantaran Kumpulan Pertama hari ini.
Manakala, penghantaran kumpulan seterusnya akan dilaksanakan pada 3, 10 dan 17 November 2022.
MALBATT 850-10 akan meneruskan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL. MALBATT 850-10 akan ditempatkan di 2 penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin. -airtimes.my