KUALA LUMPUR, 27 Okt – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) telah menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan seramai 49 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Operasi Gelombang yang dilaksanakan di beberapa lokasi di Negeri Kelantan, semalam.
Operasi yang bermula pada jam 6.00 petang itu disertai oleh seramai 32 orang pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta dibantu Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan telah dilakukan di sekitar Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas.
Beliau memaklumkan, pihaknya telah menahan seramai 8 orang lelaki warganegara Malaysia berumur antara 17 hingga 37 tahun yang bertindak sebagai Transporter bagi sindiket ini.
“Turut ditangkap adalah seramai 49 orang PATI yang terdiri daripada 32 orang lelaki, 16 orang perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan warganegara Myanmar,
“Mereka dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui jalan tikus dan kemudian dipindahkan dengan 10 buah kenderaan ke terminal bas berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama 2 minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket ini adalah menyeludup PATI melalui laluan laut melintasi sempadan Malaysia -Thailand.
“Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000.00 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia,
“Kesemua PATI ini kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah,
“Bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks,”jelasnya.
Khairul turut memaklumkan, siasatan awal mendapati transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap seorang PATI yang diangkut dari sempadan ke Terminal Bas Awam sebelum menaiki kenderaan awam yang ditetapkan.
“Semasa serbuan dilakukan terdapat transporter dan PATI yang cuba melarikan diri dan berlaku aksi kejar mengejar. Namun begitu tindakan mereka ternyata sia-sia kerana kawasan berkenaan telah dikepung,
“Pasukan operasi juga mengambil tindakan berjaga-jaga kerana sindiket ini dipercayai agresif dan bersedia melakukan ancaman fizikal untuk melepaskan diri,
“Sindiket ini juga dipercayai aktif sejak Mei 2022 setelah pintu masuk sempadan kedua-dua belah negara dibuka semula,” jelasnya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau menjelaskan, siasatan awal mendapati pihak sindiket menyasarkan PATI berasal dari Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.
Tambahnya, berdasarkan anggaran, seramai 160 PATI sebulan yang dibawa masuk oleh sindiket ini, di mana kerajaan dianggarkan telah mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.
Kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Manakala 8 orang lelaki tempatan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan.
“Kesemua 10 buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM200,000.00 akan disita untuk tindakan lanjut,” ujar Khairul. -airtimes.my