KUANTAN, 26 Okt – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Latihan Cargo Sling System with Human Load bagi pesawat EC 725 AP menggunakan Airborne Tactical Extraction Platform (AirTEP) bagi memberi latihan dan pendedahan kepada Pasukan Khas TUDM (PASKAU) serta anak kapal pesawat tersebut.
TUDM dalam hantaran di media sosialnya berkata, latihan ini melibatkan 105 orang peserta dari No 5 Skn, No 10 Skn, Markas Rejimen TUDM serta sebuah pesawat EC 725 AP dari No 10 Skn.
“Latihan yang dilaksanakan melibatkan Pangkalan Udara Kuantan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang yang berlangsung selama 4 hari bermula dari 17 hingga 20 Oktober lalu,
“Latihan yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk memberi latihan dan pendedahan kepada PASKAU dan anak kapal pesawat EC 725 AP berkaitan pengoperasian AirTEP sebagai role equipment untuk operasi Helicopter Insertion and Extraction (HIE),” katanya.
Menurut TUDM, latihan ini juga telah melibatkan jurulatih dari syarikat pengeluar iaitu Escape International, France dan turut disertai oleh jurulatih dari syarikat Priority 1 Air Rescue, France yang mempunyai kepakaran dalam pengendalian alatan AirTEP.
“Ia melibatkan 2 fasa iaitu di darat dan laut. Latihan di darat, pelatih telah didedahkan dengan pengoperasian alatan ini di tempat terbuka dan tempat tertutup (confine area) serta diberi pendedahan berkaitan emergency procedure semasa pengoperasian alatan tersebut,
“Fasa latihan di laut pula dimulakan dengan latihan di kolam renang Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) untuk memberi pendedahan kepada PASKAU berkaitan tatacara mengendalikan AirTEP ini semasa di dalam air,
“Manakala, latihan laut pula telah dilaksanakan dengan bantuan TLDM di perairan Tanjung Gelang Kuantan,” ujarnya. – airtimes.my
Galeri gambar: