ISKANDAR PUTERI, 25 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden membabitkan sekumpulan nelayan Malaysia dan pihak Coast Guard Singapura, yang berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura, petang semalam.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Terkesan dengan satu video tular media sosial yang berdurasi 2:02 minit dan 0:43 saat yang mana berlaku satu insiden pertengkaran mulut melibatkan sekumpulan nelayan Malaysia dan Coast Guard Singapura yang berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura,
“Satu laporan polis dibuat oleh wakil nelayan Malaysia yang terbabit serta siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila mereka dihalau menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa negara jiran itu, walaupun masing-masing berada dalam perairan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, mengakui kesal dengan tindakan pihak berkuasa Singapura itu apabila lagi kumpulan nelayan berkenaan mendakwa dihalau dengan kata-kata kesat.-airtimes.my