KUALA LUMPUR, 25 Okt – Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, GTA ditubuhkan untuk melindungi dan memajukan orang Melayu.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, GTA akan kembali kepada perjuangan asal UMNO.
“Kerajaan GTA mampu memulihkan negara dan memajukan orang Melayu seperti UMNO dahulu melakukan,
“Tumpuan kita (GTA) bukan untuk dapat tempat untuk diri kita tetapi untuk memulih politik, ekonomi dan kewangan negara. Kita akan atasi kemiskinan yang melemahkan ekonomi Melayu sehingga menjual tanah air mereka,” katanya.
Menurut Tun M, kerajaan tidak meluluskan GTA, gabungan rakyat dari semua lapisan untuk mendiri kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.
“Oleh itu GTA terpaksa mengguna Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai gantinya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),
“GTA terdiri dari orang Melayu yang rata-rata miskin dan bermasalah. Hanya orang Melayu sahaja yang faham apa yang dihadapi oleh orang Melayu,” ujarnya.
Katanya, dahulu orang Melayu dilindungi, oleh kerajaan yang didominasi orang Melayu iaitu UMNO.
“Tetapi UMNO di bawah Najib (Datuk Seri Najib Razak) sudah ubah perjuangan UMNO dari melindungi dan memajukan orang Melayu kepada memperkayakan diri pemimpin UMNO,” jelasnya.
Tambahnya, GTA menggunakan Pejuang dalam PRU15 ini kerana kerajaan tidak melulus pendaftaran GTA.
“Tetapi Pejuang seperti juga GTA adalah Gerakan Rakyat Melayu yang prihatin akan masalah orang Melayu yang tidak dipedulikan oleh UMNO,
“Oleh itu undilah Pejuang yang mewakili GTA untuk memelihara masa depan orang Melayu dan menentukan mereka dapat bahagian mereka dalam negara berbilang kaum ini,” katanya lagi. – airtimes.my