[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=7O5h97PvY2Y[/embedyt]
IPOH, 21 Okt – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan sekiranya diberi mandat untuk menjadi Perdana Menteri ke-10, perkara pertama yang akan dilakukan adalah dengan melakukan pemotongan gaji dan elaun bagi jawatan itu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan keadaan ekonomi yang didakwa semakin mencengkam rakyat di pelbagai peringkat.
“Rakyat hidup susah, derita dengan upah yang rendah, kemudahan anak-anak tak terkawal, dan kemudahan kesihatan ibu bapa tak terurus,
“Maka biar saya beri jaminan di sini, kalau diizin oleh Allah SWT, 20 hari bulan saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, yang pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri itu sendiri,
“Menteri-menteri saya akan runding kemudian, akan tetapi untuk Perdana Menteri, saya nak beri tahu, kalaulah keadaan ekonomi seperti ada sekarang, saya tak sanggup ambil gaji sebagai Perdana Menteri,” katanya demikian pada Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini pada Khamis.
Pada masa sama, Anwar berkata, jumlah anggota kabinet juga akan dikurangkan berbanding sebelum itu.
“Dari (Tun Dr) Mahathir Mohamad turun ke Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin). (Muhyiddin) dapat jawatan (perdana menteri), tambah bilangan menteri. Kehidupan rakyat tak terurus.
“Daripada Muhyiddin dapat kepada kepada Ismail (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), (jumlah) menteri bertambah, Penasihat Perdana Menteri bertambah.
“Nasib rakyat, entah ke mana juga. Dasar ekonomi tak menentu, pelaburan tak datang, keyakinan (pelabur) tidak ada. Doakan InsyaAllah, dari Ismail sampai kepada Anwar, kita ubah landskap politik dan ekonomi negara kita,” ujarnya. – airtimes.my