Home PolitikPakatan Harapan PRU15: PH, Amanah mahu Dr Dzul pertahan kerusi Parlimen Kuala Selangor

PRU15: PH, Amanah mahu Dr Dzul pertahan kerusi Parlimen Kuala Selangor

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pakatan Harapan (PH) dan Parti Amanah Negara (Amanah) mahu penyandang Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, keputusan ini dibuat setelah UMNO mahu meletakkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai calon di Parlimen Kuala Selangor.

“Kami pimpinan Amanah dan juga PH mahu Dr Dzulkefly bertanding untuk mempertahankan kerusi Kuala Selangor ini sekali lagi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum hasrat dan niat baik Dr Dzulkefly untuk memberi laluan kepada calon yang lebih muda dari beliau dalam pilihan raya umum kali ini.

“Beliau sudah lama menyebut perkara ini kepada pimpinan parti. Kami pun memberi isyarat awal untuk mengizinkannya,” ujarnya.

Namun, beliau berkata, PRU15 ini adalah sangat kritikal dan serius kerana setiap kerusi adalah penting untuk dimenangi oleh PH.

“Kami yakin beliau (Dr Dzulkefly) mampu mengekalkan kerusi ini berdasarkan kerja buatnya selama ini,

“Pengundi Kuala Selangor tahu kegigihan beliau membantu rakyat, di samping tugasan di peringkat negeri, antaranya melalui Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 (STFC) dan sebagai menteri di Kementerian Kesihatan (KKM) dahulu,

“Saya mendoakan kejayaan beliau untuk pilihan raya kali ini dan kita sama-sama sekali lagi melaksanakan amanah rakyat untuk negara,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!