Home Semasa Pasangan suami isteri didakwa jadi ejen Mossad bukan ahli PKR

Pasangan suami isteri didakwa jadi ejen Mossad bukan ahli PKR

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan pasangan suami isteri yang ditangkap dan didakwa menjadi ejen Mossad adalah ahli parti itu.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan mengesahkan kedua-dua individu tersebut bukan anggota mana-mana cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti.

“Semalam (Selasa) tular di media sosial dakwaan bahawa 2 individu yang ditahan itu merupakan anggota PKR atau ada kaitan dengan parti,

“Individu-individu tersebut didakwa punyai hubungan dengan Mossad,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Fahmi, tindakan pasangan itu mengunakan logo dan mengibarkan bendera PKR tidak langsung mempunyai kaitan dengan parti.

“Berhubung gambar individu tersebut mengangkat bendera PKR, atau gambar akaun Facebook dengan logo PKR sekitar 2018, ianya merupakan tindakan dan pilihan individu terbabit serta tidak ada kaitan sama sekali dengan parti,” ujarnya.

Pada masa sama, Fahmi berkata, PKR mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas suspek dan membebaskan warga Palestin yang diculik dipercayai atas arahan Mossad, agensi keselamatan dan perisikan Israel.

Tegasnya, semua yang didapati bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

Terdahulu, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur  atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu.

Mereka yang terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; dan Faizull Hardey Mohd Isa, 40.

Turut didakwa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34; dan Raibafie Amdan, 39. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!