Home Pertahanan dan Keselamatan JIM tumpas ejen Kemboja seludup PATI masuk ke Malaysia

JIM tumpas ejen Kemboja seludup PATI masuk ke Malaysia

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 19 Okt – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menahan seorang lelaki warga Kemboja yang disyaki menjalankan aktiviti tersebut di Terminal Bas Shah Alam, Ahad lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, bertindak hasil maklumat orang awam terdapat seorang ejen dan 5 orang PATI akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres dari negeri ke sempadan Malaysia-Thailand.

Tambahnya, pasukan operasi telah mengesan 6 orang warga asing disyaki ejen dan PATI yang diseludup berada di dalam terminal bas sejurus warga asing tersebut keluar dari terminal.

“Kesemua mereka telah ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati salah seorang daripada mereka merupakan ejen warga Kemboja yang berumur 47 tahun,

“PATI yang ditahan merupakan 2 orang lelaki Myanmar dan 3 orang perempuan Myanmar berusia antara 18 tahun sehingga 44 tahun,

“Pemeriksaan lanjut dilaksanakan keatas semua warga Myanmar mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan hasil soal siasat mendapati mereka baru tiba di negara ini pada 15 Oktober 2022 melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Khairul Dzaimee, semakan ke atas ejen warga Kemboja mendapati beliau telah masuk ke negara ini pada Julai 2022 dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

“Kesemua yang diperiksa ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63,

“Mereka yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah akta yang sama,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sindiket ini dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara mula dibuka semula selepas ditutup akibat pandemik COVID-19.

Ejen penyeludupan di negara jiran akan mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 setiap PATI yang diuruskan kemasukan di negara ini.

Manakala ejen di Malaysia akan dibayar oleh ejen dari negara jiran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap PATI yang diuruskan kemasukan di negara ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!