KUALA LUMPUR, 18 Okt – Polis Kuala Lumpur menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pil erimin 5 berjumlah lebih RM10 juta dalam serbuan di sebuah inap desa di Kajang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, terdahulu pihaknya telah menahan menahan 2 lelaki tempatan berusia 37 dan 39 tahun di Desa Sri Hartamas dan Bandar Damai Perdana, Kajang, dalam ‘Operasi Leslie’ pada 13 Oktober lalu.
Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas 2 lelaki terbabit, polis menyerbu sebuah kondominium di Taman Desa, pada 11 Oktober lalu di mana dadah Syabu bernilai RM1.3 juta dirampas.
“Susulan itu, kami membuat serbuan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun,
“Dalam serbuan kedua di hadapan pos pengawal sebuah taman perumahan di Bandar Damai Perdana pula, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun,” katanya pada Isnin.
Azmi menjelaskan, pihaknya telah menemui 206 bungkusan teh Cina mengandungi dadah jenis syabu seberat 213 kilogram (kg) dan 112,000 pil erimin 5 seberat 33 kg di inap desa tersebut.
“Kami turut membuat sitaan harta membabitkan wang tunai sebanyak RM70,000 dan 2 kereta jenis Toyota Altis serta sebuah Kia Forte,
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM10.1 juta,
“Hasil saringan awal terhadap kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine,” ujarnya.
Menurutnya, keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 538,000 orang pengguna (user) dadah. -airtimes.my