KUALA PERLIS, 18 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) berjaya merampas 10 kilogram (kg) ketulan ganja mampat dan 2kg syabu di perairan Perlis, pada Sabtu lalu.
Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bertindak hasil risikan dan intipin ke atas aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini beberapa minggu lalu, aset-aset ZMKP telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk melakukan serbuan ke atas bot-bot yang disyaki menyeludup dadah.
Pada awal pagi 15 Oktober lalu, sebuah bot kayu enjin bergalah tanpa nombor pendaftaran telah ditahan pada jarak lebih kurang 0.18 batu nautika dari barat Pulau Ketam, Perlis pada sekitar jam 4.30 pagi.
“Bot tersebut juga telah menukar haluan ke arah paya bakau sebaik menyedari kehadiran bot ronda APMM, namun bot berjaya dipintas dan ditahan,
“Walau bagaimanapun seorang suspek nekad untuk terjun ke laut dan meninggalkan bot berenang ke kawasan paya bakau untuk meloloskan diri,
“Hasil pemeriksaan telah menemukan 1 tong minyak berwarna biru yang mengandungi 10 ketulan daun kering mampat disyaki ganja dan 2 ketul bungkusan plastik kuning mengandungi hablur kristal yang disyaki syabu berada dalam bot kayu berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM156 ribu dan dipercayai jumlah dadah berkenaan adalah bagi kegunaan lebih 10 ribu orang penagih.
“Kesemua rampasan dibawa ke APMM Kedah dan Perlis serta diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihaknya mendapati sindiket pengedaran ganja dan dadah telah menukar modus operasi penyeludupan menerusi jalan laut dengan menggunakan bot kayu enjin bergalah untuk dibawa ke dalam negara.
“Penggunaan bot jenis ini memudahkan pergerakan melalui kawasan perairan cetek,” ujarnya – airtimes.my