BRUSSELS, 17 Okt – Negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan melaksanakan latihan ketenteraan bagi menghadapi ancaman peperangan nuklear selama 2 minggu bermula hari ini.
Menurut NATO dalam satu kenyataan berkata, latihan tahunan ini tidak berkaitan dengan mana-mana perkembangan semasa di peringkat global.
“Eksesais Steadfast Noon melibatkan 14 negara dan 60 buah pesawat dari pelbagai jenis termasuk jet pejuang generasi keempat dan generasi kelima,
“Selain daripada itu, ia turut melibatkan pesawat peninjau dan pesawat penangki minyak,” katanya dalam satu kenyataan Jumaat lalu.
Jelas jurucakap NATO, Oana Lungescu, latihan ini bagi memastikan keupayaan cegah rintang nuklear NATO adalah berada di tahap selamat, terjamin dan efektif.
Kenyataan itu turut menjelaskan latihan ini akan melibatkan pesawat pengebom strategik B-52 Amerika Syarikat.
“Tiada sebarang persenjataan digunakan dalam latihan ini,” katanya.
Eksesais Steadfast Noon pada tahun ini dilaksanakan di kawasan perairan Laut Utara dan Belgium. – airtimes.my