KUALA LUMPUR, 15 Okt – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BERSATU juga mengambil maklum keputusan Majlis Presiden PH untuk tidak mengadakan kerjasama bersama partinya.
Katanya, BERSATU akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memperkukuh Perikatan Nasional (PN) bersama PAS, GERAKAN, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah.
“Gabungan politik pelbagai kaum di negara ini yang berhasrat menawarkan kepimpinan bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat.
“Selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih, BERSATU bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam PRU15 melibatkan PN, Barisan Nasional (BN), PH dan parti-parti politik lain yang akan bertanding,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. – airtimes.my