Home PolitikPakatan Harapan Bubar Parlimen: Bukti Zahid sebenarnya berkuasa, bukan Ismail Sabri – Khalid Samad

Bubar Parlimen: Bukti Zahid sebenarnya berkuasa, bukan Ismail Sabri – Khalid Samad

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Pembubaran Parlimen oleh Yang Dipertuan Agong atas permintaan Perdana Menteri semalam membuktikan bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebenarnya berkuasa di negara ini dan bukan Datuk Seri Ismail Sabri.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, sejak dari awal lagi kehendak Ismail Sabri untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hingga ke tahun depan tidak berhasil.

“Ini adalah kerana kuasa sebenar tetap berada di tangan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN). Maka keputusan tarikh PRU15 diputuskan mengikut kepentingan parti dan peribadi Ahmad Zahid,

“Maka episod ini mendedahkan kedudukan sebenar Ismail Sabri, iaitu seorang Perdana Menteri patung atau boneka yang bergerak dan bersuara di atas perintah dan keputusan yang dibuat oleh UMNO pimpinan presidennya Ahmad Zahid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid yakin meskipun Ismail Sabri akan menjadi ‘poster boy’ sebagai calon Perdana Menteri parti itu semasa tempoh berkempen, namun bukan dia yang akan berkuasa kelak.

“Ahmad Zahid tetap berada di ‘driver’s seat’ dan akan menentukan jalan dibuka seluasnya bukan sahaja untuk beliau tetapi juga Datuk Seri Najib Razak akan kembali berkuasa serta negara akan sekali lagi dikuasai golongan kleptocrat (atau perompak dan penyamun ini),

“Oleh itu rakyat semua perlu sedar bahawa perjuangan menolak Kleptocrat yang diusahakan dengan jayanya semasa PRU14 masih belum selesai,

“Mereka ingin kembali berkuasa dan rakyat wajib bangun kembali untuk menggagalkan usaha ini melalui PRU15 yang bakal menjelang,” ujarnya.

Menurut Khalid, pembubaran Parlimen yang diumumkan semalam membuktikan PAS tersilap langkah apabila membuat keputusan dan tindakan politik yang natijahnya mungkin akan mengukuhkan kembali kedudukan para perompak serta penyamun di negara ini.

“Keputusan PAS untuk bersama dengan UMNO, para pengkhianat Pakatan Harapan (PH) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan beberapa Ahli Parlimen PKR yang menyertai Langkah Sheraton terbukti telah menghidupkan semula kuasa politik perompak serta penyamun wang negara,

“Perjuangan PH untuk bersama rakyat menolak politik kleptocrat telah dikhianati PAS dan PPBM. Sekiranya budaya politik kleptocrat kembali berkuasa, ianya adalah hasil kebodohan PAS dan PPBM pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,

“Tidak ketinggalan dalam persoalan ini adalah Datuk Seri Azmin dan Datuk Zuraida Kamaruddin. Mereka menghidupkan kleptocrat setelah dijatuhkan rakyat dan PH,” jelasnya.

Khalid juga menyifatkan usaha PAS bersama UMNO yang hanya untuk menyelamatkan kedudukan parti itu ternyata tidak ubah seperti ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’ apabila ditolak secara terang-terangan.

“Usaha PAS yang tidak pernah serik untuk terus bersama dengan UMNO terbukti kini umpama ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ apabila ditolak mentah-mentah oleh UMNO,

“Setelah PAS berjaya diperalatkan UMNO/BN, maka PAS dibuang seperti peribahasa Melayu, ‘habis madu, sepah dibuang’.

“PAS pasti sedar bahawa usaha untuk bersama UMNO sekarang adalah hanya untuk menyelamatkan kedudukan PAS yang sedang selesa berkuasa dan bukan atas nama kebenaran serta keadilan,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, jika menang bersama sekalipun, mereka bakal menguatkan lagi kedudukan politik perompak dan penyamun di negara ini.

“Namun, apakan daya, kekuasaan itu sangat manis dan memabukkan bagi golongan lupa daratan seperti pimpinan PAS. Semakin jelas wajah mereka sebagai penjual agama,

“Oleh itu, rakyat perlu faham senario ini dan membuat keputusan yang tepat dalam pilihan raya umum akan datang agar kita semua tidak tertipu lagi akan kehendak perompak dan penyamun untuk terus hidup serta terus menyakau wang negara,

“Mari kita gunakan undi kita untuk menghukum perompak dan penyamun serta rakan-rakan kongsi jenayah mereka dalam PRU kali ini untuk selama-lamanya. Mari kita tamatkan riwayat politik kleptocrat dan penjual agama buat selama-lamanya,” tegasnya lagi. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!