KUALA LUMPUR, 7 Okt – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien hari ini menegaskan pihaknya akan memanfaatkan peruntukkan yang diberikan dalam Bajet 2023.
Menurut beliau, peruntukkan untuk Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyaksikan peningkatan yang besar.
“Peruntukkan yang telah diumumkan untuk MINDEF menampakkan peningkatan agak besar,
“Jadi, saya bersyukur jumlah peruntukkan kepada MINDEF bertambah,” katanya di Lobi Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Hishammuddin hadir di Dewan Rakyat bagi mendengar pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.
Dalam Bajet 2023, MINDEF telah diperuntukkan sebanyak hampir RM17.4 bilion.
“Sebanyak RM17.4 bilion untuk tahun 2023 merupakan tambahan 7.8 peratus berbanding peruntukkan tahun lalu,
“Jumlah yang agak besar ini tambahan sebanyak RM1.23 bilion,
“Saya perlu perincikan dan seperti biasa peruntukkan MINDEF diberikan keutamaan,
“Kita akan lihat perinciannya berdasarkan kepada aset baharu, penyelenggaraan, perumahan dan veteran ATM,” jelasnya.
Sebelum itu, Tengku Zafrul ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 mengumumkan peruntukan sebanyak RM18.3 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan RM17.4 bilion untuk MINDEF dalam usaha memperkukuhkan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
Beliau berkata, bajet ini merangkumi pembelian dan penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir RM4 bilion.
Sementara itu, beliau berkata, kebajikan pasukan beruniform tanah air dan para pesara akan terus dipelihara menerusi inisiatif yang akan dilaksanakan tahun hadapan merangkumi RM118 juta untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
“Kerajaan bercadang untuk membina RKAT baru pelbagai kelas di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang selain 12 projek pembinaan RKAT yang sedang berjalan,
“Selain itu, kerajaan akan memberikan 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad veteran ATM dan kad pesara polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.-airtimes.my