Home PolitikBarisan Nasional Tinggalkan PN jika PAS mahu bersama UMNO – Zahid Hamidi

Tinggalkan PN jika PAS mahu bersama UMNO – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Okt – UMNO memberi kata dua kepada PAS untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya berhasrat mahu bersama parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya PAS mahu bersama UMNO mereka mesti penuhi syarat yang tentukan oleh parti itu iaitu memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PN demi menjayakan Muafakat Nasional (MN).

Beliau memaklumkan, dalam pertemuan 4 mata dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menyentuh perkara-perkara mengenai dasar membabitkan kedua-dua parti.

“Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan mengabsahkan jika PAS mahu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya memenuhi syarat ditetapkan,

“Sekiranya PAS gagal ikut syarat-syarat yang kita tetapkan maka UMNO akan gerak solo,” tegas Zahid pada Selasa.

Zahid menyatakan, ketegasan UMNO untuk bergerak solo bukan bermaksud UMNO ‘over confident’, tetapi yakin untuk hadapi pilihan raya dengan kaedah tersendiri.

“Bukan kerana terlalu yakin, tetapi kita kena bergerak ikut kaedah sendiri untuk hadapi peperangan dalam PRU,” ujarnya.

Tambahnya, UMNO dan BN terbuka jika PAS mahu menggunakan lambang sendiri sekiranya kerjasama kedua-dua parti direalisasikan dalam PRU-15.

“Sekiranya mereka (PAS) mahu bekerjasama dengan UMNO dan BN, mereka bebas untuk menggunkan lambang parti mereka,

“Kita boleh toleransi untuk menjalinkan kebersamaan termasuk dalam soal jentera bagi hadapi PRU,” ujarnya.

Pada 2 Oktober lalu, Zahid berkata, UMNO meletakkan 3 syarat kepada PAS dalam memperkukuh kerjasama rasmi antara 2 parti itu bagi menghadapi PRU-15.

Tiga syarat berkenaan ialah PAS perlu keluar daripada gabungan PN; PAS perlu memutuskan hubungan politik dengan BERSATU dan mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan serta bukan hanya sekadar retorik politik.

Jelasnya, syarat itu telah disampaikan kepada Abdul Hadi dalam pertemuan baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Pengerusi BN itu berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi jaminan akan menyokong semua calon-calon BN di negeri itu.

“Kami menghargainya dan semoga perkara ini dapat direalisasikan dalam makna yang sebenar apabila tiba masanya,” katanya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply