KUALA LUMPUR, 4 Okt – PAS kini dilihat tidak sehaluan dengan UMNO yang membuat keputusan agar parlimen perlu dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini.
Presiden PAS, Tan Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah diutamakan.
“PAS berpandangan pembubaran parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan,
“Ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, langkah-langkah pemulihan ekonomi kerajaan yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
“PAS berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan, di samping langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah.
“Ia adalah bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan (PH),” tambahnya.-airtimes.my