KUALA LUMPUR, 4 Okt – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kerana tidak mendapat sokongan daripada sekutunya iaitu UMNO dan PAS.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, inilah nasib yang akan menimpa parti yang ‘tikam belakang kawan untuk masuk melalui pintu belakang’.
“Mana dia BERSATU. Tidak berkuasa lagikah?
“Dalam PRU 15 pun BERSATU tidak akan menang. Sebab? Tidak dapat sokongan UMNO dan PAS,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosialnya, hari ini.
Merujuk kepada ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya, Tun Mahathir mendakwa, pengkhianatan itu menjadi titik permulaan kepada ketidakstabilan politik didalam negara.
Jelasnya, BERSATU akan menerima padahnya kerana terlibat dalam ‘Langkah Sheraton’, selepas Presidennya, Tan Seri Muhyiddin Yassin digulingkan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO.
“Sesungguhnya langkah Sheraton memulakan ketidakstabilan politik dalam negara. Sebelum langkah Sheraton semua Kerajaan dipilih melalui PRU,
“Sekarang UMNO yang ditolak oleh rakyat yang berkuasa. Sebagai Kerajaan, UMNO akan tentukan bila PRU 15 akan diadakan,” ujarnya.
Dalam kenyataan yang sama, Tun Mahathir Mahathir membidas tindakan UMNO yang mendesak agar Pilihan Raya awal diadakan walaupun amaran musim banjir telah dikeluarkan.
Tegasnya, UMNO bukan mengutamakan hak rakyat tetapi hanya berminat untuk terus berkuasa.
“Ramai tak boleh undi. Ramai akan kehilangan rumah. Ramai juga yang akan cedera dan mati. Okaylah itu masalah mereka,
“Kerajaan akan tentukan penyokong UMNO boleh undi. Bantuan wang dan makanan boleh diberi,” ujar Tun Mahathir.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut meluahkan kebimbangan dengan jumlah kakitangan kerajaan yang semakin hari semakin bertambah.
“Dahulu jumlah pekerja kerajaan tak sampai satu juta. Dalam jangka masa beberapa tahun sahaja pekerja kerajaan meningkat 1,700,000,
“Gaji pun naik berkali-kali. Akan naik lagi dalam belanjawan baru. 1,700,000 pegawai kerajaan dan keluarga tentu sokong kerajaan,
“Jangan peduli tidak ada duit tinggal untuk pembangunan negara. Jangan peduli harga barang naik. Jangan peduli ramai hadapi tekanan kewangan,
“Mereka boleh hutang. Tidak dapat bayar hutang mereka akan bankrap. Itu masalah mereka,” katanya sinis.
Tun Mahathir juga melahirkan kebimbangan dengan jumlah hutang kerajaan yang semakin hari semakin meningkat.
“Duit Kerajaan diguna untuk sogokan, tak usah bayar, tak bayar faedah pun.
“Jumlah hutang meningkat kerana tidak bayar. Itu masalah Kerajaan yang akan datang,” tegasnya. -airtimes.my