MALAYSIA merupakan sebuah negara maritim yang terletak di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa dan mempunyai kawasan perairan yang luas – iaitu dua kali ganda berbanding keluasan daratannya.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan benteng utama dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara dari ancaman luar di kawasan perairan. Pun begitu, masyarakat telah membuka mata akan keadaan semasa kekuatan armada angkatan laut negara.
Selain kelewatan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS), isu keusangan aset dan bilangan kapal kombatan telah pun disuarakan oleh pemerintah tertinggi TLDM sejak kebelakangan ini.
Dalam Wawancara Khas Bersama Panglima Tentera Laut Sempena 40 Tahun Penubuhan Pasukan Khas Laut (PASKAL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany menyatakan kebimbangan beliau mengenai isu yang membelenggu armadanya.
“Walau dalam keadaan apa sekalipun, TLDM fokus dengan misinya iaitu mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan maritim negara. Itu janji TLDM!
“Namun saya bimbang TLDM tidak mampu bertindak dengan berkesan dan efisien dalam sebilang keadaan sekali gus menjejaskan keselamatan dan keamanan negara daripada ancaman luar,” katanya.
Menurut beliau, sempadan maritim negara berdepan dengan pelbagai isu yang boleh mengganggu gugat aktiviti ekonomi maritim sekali gus menjejaskan keamanan perairan maritim negara.
Jelas Panglima Tentera Laut, perkara ini menuntut TLDM untuk memberikan tindak balas sewajarnya dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia.
“Keterbatasan dan keusangan aset agak menggusarkan saya kerana ia menjejas kredibiliti TLDM sebagai Angkatan Laut yang mampan dan sentiasa siaga,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Reza menggambarkan keadaan semasa TLDM dan amanah yang ditanggung umpama ‘menebang pokok menggunakan pisau cukur’.
“Selalu saya ungkapkan bagi memahami situasi ini, sebagai contoh, kita diberikan tugas untuk menebang pokok kerana pokok tersebut menjadi ancaman kepada penduduk di sekelilingnya,
“Jika saya diberikan gergaji mesin atau chainsaw yang baik, sudah tentu saya dapat menebang pokok tersebut dengan cepat dan mudah,
“Namun jika saya hanya diberikan pisau cukur atau gergaji tangan, sudah tentu ia mengambil masa yang lama dan mungkin mengakibatkan kecederaan kepada diri saya sendiri atau pokok tersebut tumbang dahulu menyebabkan kecederaan kepada penduduk sekeliling,
“Itulah analogi mudah untuk saya gambarkan situasi semasa TLDM dan keselamatan maritim secara amnya,” jelas Reza.
Pun begitu, beliau menegaskan TLDM kekal komited dalam menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan dan kepentingan maritim negara.
Namun, keberkesanan tugas TLDM perlu disokong dengan pembangunan keupayaan yang berdaya dan selaras dengan teknologi semasa.
“Bagi memastikan TLDM melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi dengan berkesan, TLDM harus berdaya saing selaras dengan perkembangan teknologi semasa,
“TLDM perlu mempunyai kemahiran dalam perancangan strategik, sentiasa fleksibel dan versatile dalam menghadapi apa jua senario keselamatan serta berupaya memberikan tindak balas atau respons yang tinggi apabila kedaulatan negara dan kepentingan maritim dicabar oleh anasir-anasir asing,” katanya. – airtimes.my