Home Semasa 76,336 pegawai dan anggota pelbagai agensi siap siaga hadapi banjir

76,336 pegawai dan anggota pelbagai agensi siap siaga hadapi banjir

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=dpJCjFxq2Mo[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid memaklumkan, Mesyuarat Task Force bagi memastikan kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi bencana akan dilaksankan secara berkala.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Mohd Zuki Ali.

Jelasnya, seramai 76,336 pegawai dan anggota agensi tindak balas di semua peringkat termasuk daerah berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi monsun timur laut (MTL) yang boleh mengakibatkan bencana banjir.

“Persediaan itu antara lain membabitkan sejumlah 22,622 aset meliputi darat, air, udara dan perubatan serta lain-lain,” katanya bagi menjawab persoalan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) mengenai status Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir pada hujung tahun ini, di Dewan Rakyat.

Mastura berkata, dari aspek pemantauan dan amaran awal, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah bersedia dengan 1,312 stesen telemetri hujan dan aras air, 526 siren amaran banjir serta 1,571 tolok lurus dan 184 pam bergerak.

Menurutnya, sebanyak RM50,000 diperuntukkan kepada setiap daerah, manakala peruntukan berjumlah RM1.08 juta pula disalurkan kepada 8 agensi tindak balas.

“NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) juga menyalurkan peruntukan RM30,000 bagi pembekalan 2 buah bot fiber berenjin untuk setiap daerah berserta jaket keselamatan,

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan melaksanakan perolehan bot tersebut,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply