KUALA LUMPUR, 2 Okt – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany hari ini menyatakan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa merancang perolehan baharu aset angkatannya namun seringkali ditolak.
“TLDM sentiasa merancang perolehan aset-aset baharu setiap tahun namun seringkali ditolakkerana kekangan kewangan kerajaan dan keutamaan kepada yang lain,” katanya dalam Wawancara Khas Sempena 40 Tahun Penubuhan Pasukan Khas Laut (PASKAL).
Menurut beliau, perancangan ini adalah penting bagi mempertahankan kepentingan negara di kawasan perairannya.
“Bagi memastikan kedaulatan perairan tanah air terjamin, sebuah armada yang ampuh diperlukan,
“Tentera laut wujud kerana armadanya. Dengan armada yang berusia, kita tidak mampu untuk menjadi satu angkatan laut yang kredibel,” katanya.
Menurut beliau, pengoperasian armada yang berusia memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Bagi mengatasi isu tersebut, TLDM telah menggariskan Pelan Transformasi 15-to-5. Akan tetapi, pelaksanaan pelan ini memerlukan komitmen serius daripada pihak kerajaan.
“Namun program ini hanya akan menjadi sebuah program retorik sekiranya tiada komitmen yang serius daripada kerajaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara,” jelas Reza.
Sebelum ini, Air Times melaporkan kekuatan armada TLDM pada mutakhir ini dijangka mempunyai 3 buah kapal kombatan. Jangkaan tersebut berdasarkan maklumat terbuka.
Menyentuh laporan tersebut, Panglima Tentera Laut menyatakan bilangan kombatan TLDM berkurangan dengan ketara.
“Sebelum ini, TLDM pernah memiliki 16 buah kapal kombatan pelbagai saiz. Namun, bilangan kian berkurangan dengan signifikan apabila majoriti kapal-kapal ini hilang keupayaan kombatan akibat faktor keusangan peralatan dan sistem persenjataan. – airtimes.my