Home Pertahanan dan Keselamatan Pembangunan PASKAL perlu sejajar dengan peredaran zaman – Panglima

Pembangunan PASKAL perlu sejajar dengan peredaran zaman – Panglima

by M.Daim

LUMUT, 1 Okt – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany hari ini menegaskan pembangunan keupayaan Pasukan Khas Laut (PASKAL) perlu sejajar dengan peredaran zaman.

Menurut beliau, pembangunan keupayaan bukan sekadar pada peralatan sahaja tetapi turut merangkumi modal insan, dan penguasaan ilmu.

“Pembaharuan peralatan sahaja tidak akan dapat dioptimumkan sekiranya minda dan sikap anggota PASKAL tidak seiring berubah,

“Saya menuntut semua anggota PASKAL yang masih aktif berkhidmat untuk menguasai setiap cabang ilmu demi meningkatkan tahap kompetensi serta mutu latihan supaya lebih efektif, mengikut peredaran zaman,

“Saya yakin warga PASKAL kita pada hari ini dan yang akan datang mampu untuk melakukannya,” kata Panglima Tentera Laut semasa menyampaikan ucapan bersempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun PASKAL ke-40 di KD Panglima Garang.

Tambahnya, pihak pemerintah tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) peka akan kekurangan yang dihadapi oleh salah satu pasukan khusus Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Evolusi pemodenan global jelas ketara, ini termasuklah dari segi teknologi peralatan pertahanan, persenjataan, dan juga latihan ketenteraan,

“Tidak dinafikan, pembangunan PASKAL juga perlu sejajar dengan arus pemodenan dan perubahan landskap cabaran semasa.

“Untuk itu, saya ingin memaklumkan bahawa saya serta seluruh kepimpinan TLDM amat peka akan kekangan yang PASKAL hadapi, terutamanya dari segi peralatan dan persenjataan baharu,

“Justeru, ingin saya tekankan bahawa TLDM sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan pengoperasian PASKAL dengan sebaiknya.,” ujar Reza.

Beliau menjelaskan pembangunan dan kejayaan yang dikecapi PASKAL pada hari ini adalah hasil para veteran yang sebelum ini telah berkhidmat sebagai anggota pasukan khusus itu.

“Kejayaan ini tidak datang begitu sahaja. Hakikatnya, setiap kejayaan PASKAL hari ini dikecapi atas titik peluh dan pengorbanan tuan-tuan, para veteran semua,

“Walaupun ungkapan menyebut, ‘patah tumbuh, hilang berganti’, namun, jasa tuan-tuan selaku ‘orang-orang lama’ PASKAL amat sukar untuk dicari ganti dan dirasai hingga ke hari ini,

“Semoga setiap pengorbanan ini akan dapat kita abadikan untuk tatapan serta tauladan generasi yang akan datang,” kata Panglima Tentera Laut.

Sejarah PASKAL bermula dengan penubuhan Rejimen Keselamatan TLDM di Woodlands, Singapura. Kumpulan perintis  ini kemudiannya menjalani latihan di Indonesia, Kem Sungai Udang, Amerika Syarikat, dan United Kingdom.

Perjawatan PASKAL yang pertama telah diluluskan dan ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Oktober 1982, sekaligus menjadi tarikh sambutan pasukan khusus TLDM pada setiap tahun. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!