KUALA LUMPUR, 30 Sept – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang dalam proses menstruktur semula Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) agar ia lebih fokus dan realistik.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, penstrukturan semula itu akan memfokuskan kepada usaha mendepani keperluan serta isu-isu semasa para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang semakin mencabar mengikut peredaran masa.
Beliau berkata, usaha penstrukturan itu turut mempertimbangkan keperluan melibatkan pihak berkepentingan ketiga, seperti kementerian lain dan kerajaan negeri di dalam majlis, agar keputusan dibuat dapat menghasilkan kesan dan impak tepat buat veteran ATM.
“Dalam aspek perumahan veteran, saya sedang bekerjasama rapat dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Reezal Merican untuk melihat bagaimana perancangan perumahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) boleh mengambil kira lebih ramai Veteran ATM sebagai golongan sasar,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Kementerian Pertahana pada Khamis.
Sementara itu, mengenai permintaan veteran ATM untuk menambah baik pemberian elaun kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia (PJM), kenaikan jumlah bantuan sara hidup kepada veteran tentera B40 dan pelarasan pencen, Hishammuddin menjelaskan, ia telah dibawa ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelulusan.
Tegasnya, perkara itu melibatkan imlikasi kewangan yang besar dan memerlukan pertimbangan kementerian dan agensi lain.
“Sebagai langkah ke hadapan dan mengukuhkan lagi usaha ini, saya juga telah mencadangkan untuk menjemput Menteri Kewangan dan KPPA sebagai ahli tetap MVK,
“Ini sebagai salah satu usaha untuk memberi ruang kepada MOF dan JPA memahami secara lebih mendalam isu serta keperluan dan perancangan MINDEF berkaitan veteran,” ujarnya.
Ketika ini, Hishammuddin berkata, MINDEF menguruskan hampir 300,000 individu merangkumi lebih 100,000 veteran ATM berpencen, hampir 80,000 veteran ATM tidak berpencen serta hampir 30,000 veteran di bawah pencen terbitan, selain kira-kira 121 persatuan veteran di peringkat dan 381 di peringkat cawangan.
“Pejabat Menteri Pertahanan sendiri akan mengetuai isu ini dengan menubuhkan satu pasukan khas untuk meneliti isu veteran, termasuk yang dibangkitkan di media sosial, yang akan dikumpul di peringkat Menteri Pertahanan sendiri,” tegasnya.
Pada mesyuarat MVK kali ini, Hishammuddin turut memperkenalkan Mejar Jeneral Zambery@ Jefry Darus sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang baharu berkuat kuasa serta merta. – airtimes.my