Home Pertahanan dan Keselamatan Pemandu lori lari tinggalkan 84,700 kotak rokok seludup

Pemandu lori lari tinggalkan 84,700 kotak rokok seludup

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 29 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor telah merampas 84,700 kotak rokok dipercayai diseludup masuk di persisiran pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, semalam.

APMM Selangor dalam kenyataan memaklumkan, tangkapan ini merupakan hasil risikan dan intipan berterusan serta merupakan kejayaan besar dalam membanteras aktiviti penyeludupan.

“Bot PETIR 83 APMM telah diatur gerak ke lokasi setelah mendapat maklumat dari Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang mengesan sebuah bot mencurigakan sedang bergerak di Perairan Tanjung Gabang sekitar jam 6.00 pagi,

“Dalam perjalanan ke lokasi, aset APMM tersebut telah bertembung dengan sebuah bot pancung menggunakan 6 enjin dipercayai vesel yang membawa muatan rokok di perairan berkenaan,

“Bot pancung berkenaan cuba melarikan diri menuju ke perairan negara jiran setelah menyedari kehadiran aset APMM bagi mengelak diperiksa dan ditahan,” jelas kenyataan itu.

Menurut APMM Selangor, hasil risikan mendapati sejumlah rokok baru sahaja diturunkan di persisiran pantai namum bot PETIR 83 gagal memasuki ke sungai tersebut kerana kawasan air yang cetek.

“Anggota di darat telah dikerahkan ke lokasi berkenaan untuk melakukan pemeriksaan,

“Hasil pemeriksaan mendapati 2 buah lori telah ditemui bersama muatan rokok pelbagai jenama namun pemandu tidak ditemui,” tambahnya.

Pemandunya disyaki telah melarikan diri sejurus menyedari kehadiran penguatkuasa serta kesemua hasil rampasan dan 2 buah lori dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk siasatan lanjut.

“Kesemua rokok ini dipercayai dibawa masuk dari negara jiran sebelum dijual di bawah harga pasaran bagi menarik pembeli dalam kalangan perokok tempatan,

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk 2 buah lori yang disita dianggarkan berjumlah RM992,000 dan kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,”tambah kenyataan itu. -airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!