KUALA LUMPUR, 28 Sept – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli melancarkan petisyen dalam talian bagi membantah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) diadakan dalam musim banjir.
Menerusi catatan di laman Facebooknya menjelaskan, hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya.
“Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran,
“Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik,” katanya malam tadi.
Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat tentangan hebat dari UMNO untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.
“Jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU-15 akan diadakan semasa musim banjir. Semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih parah tahun ini,
“Belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk,” ujarnya.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menambah, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mendabik dada bahawa UMNO sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.
“Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU-15 dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir,
“Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu,” tegasnya.
Pada 17 September lalu, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN bersedia untuk berkempen bagi PRU-15 walaupun ia diadakan pada musim tengkujuh namun mendapat kencaman dari pihak pembangkang.
Ahli politik dari parti kerajaan turut berkongsi pandangan bahawa adalah tidak bijak untuk mengadakan PRU semasa musim tengkujuh.
Bagaimanapun, Zahid mendakwa banjir itu adalah ‘naratif dan mitos’ yang diputar belit oleh pembangkang bagi mengelak PRU15 diadakan tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika PRU-15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan untuk menguruskan Pilihanraya.
“Sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana,
“Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihanraya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir,” tambahnya.
Patisyen Bantah PRU15 Semasa Banjir: Selamatkan Nyawa Bukan Jawatan telah menerima 6,940 tandatangan sehingga jam 12.30 tengah hari ini. -airtimes.my