KUALA LUMPUR, 28 Sept – Majikan diwajibkan menunggu ketibaan pekerja-pekerja asing baharu mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membuat pengesahan pekerja berkenaan mempunyai majikan yang sah.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud memaklumkan, majikan perlu bertanggungjawab menguruskan dokumentasi pekerja berkenaan dan membuat pengesahan bahawa mereka adalah majikan kepada pekerja-pekerja tersebut.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi tempoh selama 6 jam kepada majikan untuk menerima pekerja-pekerja asing mereka di KLIA, namun dalam keadaan tertentu, tempoh itu akan dilanjutkan.
“Pekerja-pekerja asing berkenaan tidak akan dilepaskan keluar sehingga majikan sebenar sepertimana dalam permohonan tiba di KLIA untuk menerima mereka. Peraturan ini bertujuan untuk memastikan semua pekerja asing mempunyai majikan yang sah,
“Kegagalan majikan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan pekerja asing berkenaan diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan akan diarah pulang dengan penerbangan berikutnya ke negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan berkaitan pengurusan masuk pekerja asing di KLIA menerusi laman sosial.
Jelasnya, satu hantaran di laman sosial oleh seorang blogger mempersoalkan tindakan menghantar balik pekerja asing yang tidak diambil selepas 6 jam tiba di KLIA, dan kononnya Jabatan Imigresen tidak mahu mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku kelewatan.-airtimes.my