PENGKALAN HULU, 28 Sept – Eksesais Pasak Bumi siri 1/2022 anjuran Batalion Ketiga Rejimen Sempadan (3 RS) telah dilaksanakan bagi memupuk semangat kerjasama dan setiakawan dalam kalangan anggota pada 5 hingga 24 September lalu di 𝑆𝑢𝑟𝑣𝑖𝑣𝑎𝑙 𝑉𝑖𝑙𝑙𝑎𝑔𝑒 3 RS.
3 RS dalam hantaran di media sosialnya berkata, eksesais ini juga bagi meningkatkan daya pemerintahan dan kawalan di peringkat Seksyen, Platun serta Kompeni dalam keadaan yang mencabar.
Selain itu, eksesais ini turut menguji tahap kemahiran individu dalam pandu arah, disiplin medan dan Ilmu Medan Perang (IMP).
“Turut diuji taktik dan kompetensi Ketua Kompeni, Ketua Platun serta Ketua Seksyen,
“Dalam perancangan serta pelaksanaan serang hendap, serangan serta-merta dan serangan ke atas khemah musuh,” katanya.
Menurut 3 RS, majlis penutup eksesais ini telah disempurnakan oleh Pemangku Penolong Pegawai Memerintah, Mejar Ismail Zakaria.
Ismail dalam ucapan mengingatkan kepada semua peringkat pemerintah terutamanya Ketua Platun dan Ketua Seksyen agar terus mempertingkatkan kebolehan serta kemahiran di dalam Kawad Tempur Seksyen atau Platun, Kawad Menduduki Pengkalan termasuk segala silibus IMP.
“Disamping dapat mengekalkan dan mempertingkatkan kemahiran serta pengetahuan pegawai termasuk anggota dalam Peperangan Melawan Insurgensi (PMI),” ujarnya. – airtimes.my
Gambar galeri: