Home Pertahanan dan Keselamatan Sampai kiamat pun Guan Eng tak akan cakap saya menteri yang berjaya – Hishammuddin

Sampai kiamat pun Guan Eng tak akan cakap saya menteri yang berjaya – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meletakkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di tangga teratas dalam senarai menteri yang gagal menjalankan tugas adalah lambang kepada kebimbangannya terhadap pencapaian dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan itu menyifatkan, Guan Eng sebagai individu yang terlalu bimbang atau takut dengan kejayaannya yang telah dilakukan sepanjang menjadi Menteri di barisan Kabinet.

Tambahnya, Guan Eng dialu-alukan untuk mengulangi kenyataannya itu yang dilihat sebagai tanda beliau dan anggota Kabinet yang lain sentiasa mendapat perhatian bekas Menteri Kewangan itu.

“Dalam politik apabila seseorang individu keluarkan kenyataan begitu, maknanya dia bimbang apa yang dah kita lakukan,

“Orang yang tak endahkan kita maknanya kita tak buat kerja dan saya nak beritahu kepada Guan Eng cakaplah lebih, kerana saya tahu sampai kiamat pun dia takkan kata bahawa saya menteri dah berjaya,” katanya pada sidang media.

Sebelum ini, Guan Eng meletakkan Hishammuddin dalam senarai pertama dalam senarai 10 menteri Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang gagal menjalankan tugas.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi DAP itu yang menyenaraikan nama 10 menteri disifatkannya gagal menjalankan tugas bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana jelas Guan Eng, Hishammuddin menyelia pembelian kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

“Skandal paling keterlaluan ini melibatkan pembayaran RM6 bilion tanpa satu kapal pun siap. Hishammuddin malah telah melancarkan LCS yang tidak lengkap pada 2017 dengan tiang palsu berharga RM400,000 yang kemudiannya dilupuskan,” katanya dalam kenyataan awal minggu lalu.

Selain Hishammuddin, Guan Eng turut mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai tidak cekap.

Terdahulu, beliau dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin telah mengadakan lawatan dan menyempurnakan Program Inisiatif Kesihatan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di Wangsa Maju.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!