KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak perlu beria-ia sangat mengumumkan Barisan Nasional (BN) musuh utama Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, pengumuman itu sekadar menunjukkan kekalutan Muhyiddin untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangkakan tidak lama lagi.
“Rakyat sudah lama tahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin Muhyiddin sememangnya memusuhi BN dengan objektif menamatkan BN,
“Segala bicaranya mengenai kerjasama dengan BN sebelum ini cumalah hipokrasi yang nyata dan kian terserlah tatkala PRU15 semakin menghampiri,
“Perlu difahami permulaan penubuhan PPBM dengan ‘misi’ untuk bergandingan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi melenyapkan BN khususnya UMNO,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, semalam.
Ahmad Zahid berkata, selepas gagal, PPBM mengubah taktikal mahu menguasai BN dalam usaha menyekat kebangkitan pemimpin UMNO yang pernah mereka zalimi.
“Juga dengan sasaran BN akan berada di bawah telunjuk PPBM bagi diperkudakan untuk kepentingan politik mereka melalui perancangan ‘scheme of things’,
“Mujur sebahagian besar pimpinan BN termasuk Presiden UMNO dapat menghidu muslihat tersebut walaupun tidak dinafikan ada juga segelintir yang terpedaya,
“Sebab itu kita tidak berasa pelik bukan PH diumumkan musuh utama PN walaupun Mahiaddin pernah menyebut PH tidak selari dengan perjuangan orang Melayu, Islam serta rakyat Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya, Muhyiddin mungkin masih berharap membawa PN bekerjasama dengan PH yang tidak selari dengan perjuangan Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.
“Barangkali juga satu-satunya pihak yang sedang keliru dan celaru dengan pengumuman Muhyiddin tersebut adalah pimpinan tertinggi PAS,
“Maka dengan pengumuman Muyiddin, BN musuh utama PN seharusnya membuka mata dan minda yang pernah terpedaya untuk melihat kebenaran,” jelasnya.
Tegasnya, Ahli-ahli Parlimen selain PPBM khususnya BN yang berada dalam kabinet perlu memahami realiti bahawa mereka sedang dikelilingi oleh musuh dalam selimut.
“Selagi mana mereka mempertahankan komposisi kabinet sedia ada bersama PPBM, selagi itu kerajaan campuran yang mereka ‘pikul’ terdedah kepada risiko sabotaj,
“Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) malah telah pun memulakan gerakan melampaui batas ‘menyerang’ Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,
“Tindakannya boleh memberi implikasi negatif kepada negara kerana Muhyiddin sendiri menggambarkan kerajaan yang dianggotainya sebagai lemah dan gagal,
“Dengan demikian para pelabur asing akan melihat Malaysia bukan sebuah destinasi yang stabil dan kukuh untuk mereka membuat pelaburan,” tegasnya.
Presiden UMNO itu juga berkata, tindakan Muhyiddin sekali gus menyulitkan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi Malaysia termasuk nilai mata wang yang kini berada paras menggusarkan.
“Lambat laun pasaran saham akan turut merundum apabila pelabur asing menjual saham tempatan untuk melabur di tempat lain,
“Tidak pasti sama ada tindakannya itu satu lagi bentuk ugutan kepada Perdana Menteri atau sememangnya beliau sudah tidak mampu menyembunyikan muslihatnya,
“Untuk menangani risiko di depan mata maka kerajaan yang stabil perlu segera dibentuk dengan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang kukuh,
“Justeru itu ayuh semua kita segerakan PRU15 sebelum musim hujan, sebelum negara berdepan dengan lebih banyak kerosakan angkara kerakusan politik musuh rakyat,” katanya lagi. – airtimes.my