Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal OPV belum siap: PAC panggil agensi terlibat bentang penjelasan

Kapal OPV belum siap: PAC panggil agensi terlibat bentang penjelasan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding berhubung perolehan Kapal Peronda Luar Persisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, jawatankuasa berpendirian APMM dan KDN perlu mengemukakan penjelasan kepada Parlimen melalui Jawatankuasa itu mengenai punca kelewatan penerimaan OPV berkenaan.

“Ini bagi memastikan rakyat-rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku,” kata Wong dalam kenyataan pada Isnin.

Kontrak perolehan 3 OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai oleh syarikat usahasama (Destini Shipbuilding & Engineering Sdn Bhd dan TH Heavy Engineering Berhad) iaitu THHE-Destini Sdn.Bhd pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan.

Bagaimanapun, pada 13 September lalu, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som memaklumkan, ketiga-tiga kapal itu masih dalam pembinaan, dengan kapal pertama dijangka hanya akan diserahkan pada tahun depan.

OPV yang dibina berasaskan rekaan kapal kelas Damen 1800 (buatan firma Belanda) ini sepanjang 83 meter dengan berat kira-kira 1,890 tan serta boleh belayar pada kelajuan 22 knot.

Mengulas lanjut, Wong berkata, pihaknya akan memanggil APMM dan KDN serta Kementerian Kewangan dan syarikat terlibat untuk memberi penjelasan.

“Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” tambahnya.

Sebelum ini, PAC juga menjalankan siasatan terhadap Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengalami masalah kelewatan penerimaan.

Selain penangguhan penyiapan dan peningkatan kos, PAC juga mendapati rekaan yang dipilih tidak mengikut spesifikasi TLDM. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!